Friday, July 30, 2010



PENDUDUK BUAT LAPORAN POLIS BIMBANG PENCEROBOHAN PASIR BERLELUASA

BESTARI JAYA : lebih 10 penduduk kampung Bestari Jaya membuat laporan polis kerana bimbang pencerobohan tanah akan menjadi berleluasa tanpa dikenakan tindakan undang undang, semalam.
Berikutan tinjauan pihak media pada 26 Julai lalu ke tapak lokasi pengambilan pasir di Bestari Jaya, pihak kontraktor masih tidak berganjak atau memberhentikan tindakan walaupun telah dinyatakan kebimbangan penduduk di situ.
Yeop Mat Sanip, Ketua JKKKP Kampung Bestari Jaya dalam laporan polis yang dibuatnya menyatakan kembimbangan pihak kontraktor perlombongan pasir Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang menjalankan aktivitinya berhampiran dengan kawasan perumahannya.
"Penduduk kampung kami juga bimbang dengan aktiviti melombong pasir ini mungkin merosakkan harta benda dan rumah mereka."
"Mereka juga telah merosakkan sistem perairan dan sumber air di kampung ini yang mana ada penduduk kampung yang mengail ikan sebagai hasil pendapatan akan mengalami kerugian," katanya.
Malah, Seramai lebih 3000 penduduk di sini serta hampir 5000 penuntut Universiti Industri Selangor (UNISEL) di sini diancam kebimbangan kerana kawasan perlombongan yang amat hampir dengan asrama dan kawasan perumahan.
"Mereka menggunakan mesin pam dan 'pontoon' yang boleh menyedut pasir hingga ke kawasan dasar dan kita tidak dapat dipastikan kemusnahan yang mereka telah lakukan."
"Kami bimbang penggunaan mesin ini akan mendatangkan bencana seperti tanah mendap, runtuh ataupn banjir yang boleh mengancam nyawa penduduk di sini," katanya.
Yeop juga inginkan penjelasan tentang pemberian 10% hasil keuntungan perlombongan yang akan disalurkan ke kampung itu tetapi sehingga ini masih tiada khabar berita.
"Saya berharap aktiviti melombong pasir ini dapat dihentikan serta merta demi mengelakkan kejadian bencana yang tidak diingini dari berlaku di kampung kami," katanya.
Sementara itu, Mohd. Nazeri Noor Mohamad, Ahli Jawatankuasa Kampung dan mewakili penternak kambing susu menyatakan aktiviti melombong pasir amat hampir dengan lokasi ternakan beliau.
"Pihak kontraktor juga secara tidak langsung telah memecahkan ban di Sungai Selangor hingga memberikan kesan aliran sungai masuk ke kawasan lombong."
"Aktiviti perlombongan pasir ini juga memberikan kesan tanah runtuh di kebun kelapa sawit berhampiran hingga menyebabkan beberapa kawasan banjir sekiranya hujan berlarutan," katanya.
Malah, Mohd. Nazeri mendakwa pihak kontraktor telah menyalahgunakan permit melombong pasir dengan menyedut pasir sungai serta mencemarkan sumber dan hidupan air disitu.

No comments: