Saturday, July 24, 2010

KELUARGA INDIA DI DUN IJOK TERABAI

KUALA SELANGOR 7 Feb. - Kira-kira 300 keluarga miskin keturunan India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di sini hidup dalam kesempitan kerana didakwa tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri dan wakil rakyat mereka yang juga Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kesemua keluarga itu yang sebahagiannya merupakan pekerja estet dan mempunyai pendapatan sekitar RM500 sebulan juga tidak lagi mendapat bantuan daripada kerajaan negeri seperti yang dilakukan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, K. Parthiban (gambar) mendakwa, nasib keluarga ini memang malang kerana diabaikan oleh wakil rakyat mereka yang hanya menumpukan tugasnya sebagai Menteri Besar.

Beliau mendakwa, apabila penduduk ini pergi ke pejabat wakil rakyat untuk meminta bantuan dan mengadu masalah, mereka tidak dilayan.

Menurut Parthiban, janji kerajaan negeri untuk membantu dan menjaga kebajikan semua rakyat berbilang kaum nampaknya cakap kosong kerana hanya orang tertentu yang mendapat perhatian.

''Jika dahulu semasa pemerintahan BN, keluarga miskin keturunan India ini akan mendapat bantuan dua kali sebulan daripada kerajaan negeri berupa makanan berjumlah RM50.

''Tapi kini nak dapat bantuan setahun sekali pun susah. Akhirnya mereka mengadu kepada kita dan minta bantuan kita (BN)," kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Parthiban, beliau kesal dengan sikap Abdul Khalid yang mengabaikan penduduk di kawasannya sendiri kerana sebagai wakil rakyat beliau sepatutnya peka dengan masalah masyarakat di bawah tanggungjawabnya.

Ujar beliau, jika Abdul Khalid tidak berupaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kerana sibuk dengan tugas sebagai Menteri Besar sahaja, beliau sepatutnya meletak jawatan sahaja bagi memberi laluan kepada orang lain.

''Jangan apabila ada majlis anjuran kerajaan negeri, beliau berjanji akan menjaga kebajikan masyarakat berbilang kaum tanpa mengira fahaman politik tetapi apabila tiba waktu rakyat mahu menemuinya beliau tiada.

''Memang ada majlis di Ijok dan kadangkala beliau hadir, tetapi setakat hadir sahaja tetapi tidak dapat mendengar keluhan masyarakat buat apa.

''Inilah sikap Menteri Besar yang hanya tahu bercakap tetapi tidak mengambil tahu masalah yang berlaku. Apabila kita buat aduan beliau akan kata ini ada kaitan dengan agenda politik. Senangnya beliau memberikan alasan untuk mengelak tanggungjawabnya," katanya.

No comments: