Tuesday, August 17, 2010

Sikap Talam Dua Muka Pakatan Rakyat Terhadap Kaum India




1. Perobohan kuil Muniswara di Pelabuhan Klang pada 11 Ogos 2010 oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) menunjukkan sikap talam dua muka Pakatan Rakyat terutamanya ahli Parlimen Klang, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Kapar, Charles Santiogo.

2. Kedua-dua mereka yang kononnya bercakap bagi pihak kaum India tidak berbuat apa-apa untuk menghalang tindakan MPK tersebut. Mereka mendakwa tidak tahu menahu mengenai kejadian tersebut dan menyalahkan Majlis Perbandaran Klang sebagai pihak yang bertanggungjawab. Kedua-dua ahli Parlimen juga mempertahankan Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli MPK sebagai
tidak bersalah kerana ia dilakukan oleh PBT itu sendiri.

3. Namun masyarakat dan pemilik kuil tersebut telah pun mengetahui mengenai notis MPK agar mengosongkan premis sejak awal julai lalu kerana dibina secara tidak sah. Malangnya tiada usaha oleh kedua-dua ahli Parlimen ini dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini termasuk memindahkan kuil ini. Sungguhpun Charles Santiago mendakwa ada perbincangan untuk menangguhkan notis tersebut namun jelas kerajaan negeri
tidak pernah mengarahkan MPK membatalkan notis tersebut. Adalah mustahil untuk pegawai MPK bertindak secara sewenang-wenangnya jika notis tersebut telah dibatalkan.

4. Semasa kerajaan Barisan Nasional dahulu, mereka ini dengan lantang menyalahkan Menteri Besar dan kerajaan negeri atas kes perobohan kuil Hindu biarpun ketika itu jelas ia merupakan arahan Mahkamah dan pemilik kuil telah mendapat pampasan.

5. Hari ini kerana mereka telah menjadi kerajaan maka kerajaan tidak lagi bersalah kerana tidak tahu tindakan yang diambil oleh MPK. Para pegawai MPK yang menjalankan tugas pula dijadikan “kambing hitam”.

6. YB. Charles Santiogo juga mahukan tindakan diambil ke atas Pegawai Daerah, Bakhtiar Hussien biarpun pegawai tersebut mendakwa beliau berada di luar kawasan dan tidak tahu menahu mengenai tindakan yang diambil. Mengapa mereka mahu tindakan diambil ke atas Bakhtiar tetapi tidak EXCO yang bertanggungjawab mengenai rumah Ibadat bukan Islam? Apakah kerajaan negeri boleh lepas tangan dengan kenyataan tidak tahu tetapi Bakhtiar
harus dihukum biarpun ia berada dalam situasi yang sama dengan kerajaan negeri iaitu tidak tahu.

7. Ini bukan kali pertama kejadian merobohkan kuil dilakukan oleh kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Pada 28 September 2008, kuil Sri Maha Kaliamman di Ampang Jaya juga telah dirobohkan. EXCO Kerajaan Negeri YB Dr Xavier Jayakumar memberi alasan yang hampir sama iaitu “arahan merobohkan kuil Sri Maha Kaliamman dibuat oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di
luar pengetahuan kerajaan Selangor.”

8. Setiap kali berlaku sebarang perobohan kuil atau apa sahaja yang boleh memberi kesan buruk kepada imej kerajaan negeri, mereka akan mengeluarkan kenyataan tidak tahu dan menyalahkan pegawai kerajaan. Sampai bila mereka mahu menjadi kerajaan yang serba tidak tahu dan menyelahkan pihak lain?

9. MIC Selangor khuatir dalam isu perobohan kuil ini kerajaan negeri hanya berpura-pura tidak merestui tetapi dalam masa yang sama mengarahkan para pegawai menjalankan tugas mengikut peraturan dan notis yang telah dikeluarkan.

10. Sebagai sebuah parti yang memerintah adalah tugas dan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah bukannya menyalahkan pihak lain seperti mana ketika mereka menjadi pembangkang.

11. MIC Selangor melihat tidak ada tindakan pro aktif membincangkan isu kuil tidak berdaftar secara tuntas dan bersungguh seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum Pilihan raya 2008. Kita percaya sekiranya BN terus memerintah, isu kuil hindu tidak berdaftar ini telah
dapat diselesaikan berdasarkan perjumpaan YAB Menteri Besar ketika itu dengan seluruh pemilik kuil Hindu di Selangor. Malangnya perkara ini terhenti apabila kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan.

12. Justeru kita menggesa Pakatan bukan sekadar bermain sandiwara bagi menaikkan emosi penganut Hindu tetapi mencari jalan menyelesaikan isu kuil hindu di Selangor. Tiga tahun bukan satu jangka masa yang pendek untuk menyelesaikan isu ini. Malangnya sikap seperti ayam bertelur sebiji riuh sekampung menyebabkan banyak isu gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri
hari ini.

13. Alangkah malangnya apabila masyarakat India mendapat pemimpin dalam Pakatan yang berpura-pura mengambil berat kebajikan mereka. Hanya riuh rendah apabila perkara telah berlaku dan akhirnya diam semula setelah isu sejuk.

14. Sehingga hari ini belum nampak kebajikan kaum India terjaga lebih baik seperti mana yang dilaungkan oleh mereka dalam kempen pilihan raya lalu. Kuil dan tempat suci agama Hindu terus dirobohkan, peruntukkan pendidikan pun wujud unsur penyelewengan. Kebajikan kepada orang India di ladang juga
tidak dipedulikan biarpun janji mereka kepada masyarakat India dan laungan Makkal Sakthi mereka semasa pilihan raya lalulah yang membantu mereka menang di Selangor.

15. Apa yang jelas rakyat Selangor hari ini hanya mendapat sebuah kerajaan yang bersikap tidak tahu dan menyalahkan orang lain sahaja. Sudah berkuasa pun masih bersikap seperti pembangkang.

No comments: